BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, May 28, 2014

Jika Hubungan Tidak direstui Ibu Bapa

Berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan kekasih hati tetapi terhalang kerana ibu bapa tidak merestui?

Memang kisah cinta anda tidak semudah kisah cinta hero dan heroin filem Hindi yang akhirnya pasti bersatu. Jangan patah semangat! Tidak mustahil, anda dan kekasih hati juga mampu menjadi bak kisah romantik hero dan heroin cerita Hindi. Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah bersabar, berusaha dan berdoa. Bersabar bererti anda jangan melawan cakap ibu bapa anda yang menghalang hubungan anda dengan si dia. Kenapa perlu bersabar? Jika anda gagal bersabar dan mengikut emosi sendiri, anda takkan mungkin berjaya mengubah keputusan ibu bapa anda. Tak percaya?!!

Kesnya mudah sahaja. Katakan ibu atau bapa anda memarahi anda kerana masih berhubungan dengan si dia. Kemarahan itu pula mendapat jawapan balas daripada anda. Apa fikiran dan pandangan ibu atau bapa anda kepada anda dan si dia? Ya! Ibu bapa anda akan beranggapan anda telah berubah, tidak lagi sayangkan atau hormatkan ibu bapa sendiri malah sanggup menentang mereka semata-mata kerana anda mempunyai si dia. Kalau belum menjadi pasangan yang sah sudah mampu mempengaruhi keputusan anda, bagaimana jika telah menjadi teman hidup hingga ke akhir hayat?

Bukan sahaja tentang sikap anda malah ibu bapa akan berpandangan bahawa bakal teman hidup anda adalah seorang yang boleh merosakkan hidup dan masa depan anda. Bayangkanlah apa yang boleh dilakukan oleh seseorang yang mampu mengeruhkan hubungan antara anak dengan ibu bapanya? Lantas, jalan terbaik ialah bersabar.
 
Bukan sekadar bersabar, anda juga perlu berusaha. Kebanyakan kes hubungan terlarang ialah kerana ibu bapa anda tidak begitu mengenali bakal teman hidup anda itu. Tambah pula sekiranya di dalam minda mereka telah ada cadangan pasangan yang terbaik untuk anda. Peranan anda amat penting bagi mengatasi masalah ini. Kenalkan bakal teman hidup anda itu kepada ibu bapa anda. Mungkin buat pertama kali agak payah terutama bagi kes-kes yang ibu bapa mengharamkan terus nama bakal pasangan anda disebut di depannya. Tak mengapa, terus bersabar dan jangan putus asa. Jika hanya ibu yang berkeras, kenalkan dulu kepada bapa. Begitu juga sebaliknya.

Jika tak boleh dikenalkan terus kepada ibu bapa atau salah seorang daripada mereka, kenalkan pula kepada adik beradik anda atau siapa sahaja yang anda yakin boleh menolong anda mempengaruhi keputusan ibu bapa anda. Jika masih tidak berjaya, di sinilah kesungguhan anda teruji. Anda perlu minta satu peluang daripada ibu bapa anda untuk mengenali siapa pilihan hati anda. Jangan takut dan jangan putus asa. Mencuba adalah lebih baik daripada berdiam tanpa apa-apa tindakan dan hanya menerima keputusan. Paling penting, anda perlu pastikan kesabaran anda memang berada pada tahap yang optimum. Anda perlu kuatkan semangat dan banyakkan bersabar. Tika ini memang kesabaran anda akan teruji bila ibu bapa mengeji atau memperlekehkan pilihan hati anda.
 
Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, bersabar dan jangan melawan. Biarkan ibu bapa anda meluahkan emosi mereka. Jangan anda terpengaruh dan terikut-ikut dengan cara mereka. Bertenang dan teruskan bersabar.

Perkara ketiga: berdoa. Doa adalah senjata yang paling utama. Bukan berdoa mohon sikap ibu bapa anda berubah dan menerima pilihan hati anda sebaliknya anda perlu berdoa mohon yang terbaik. Anda boleh berdoa: “Ya Allah! Aku sayangkan dia (sebut namanya). Aku ingin hidup bersamanya sebagai pasangan yang halal di sisi-Mu. Sekiranya dia adalah jodohku yang baik, baik juga untuk ibu bapaku dan hidupku seterusnya, aku mohon Kau mudahkan urusan jodohku ini. Namun sekiranya dia bukan jodoh yang baik untukku,tak baik juga untuk ibu bapaku dan masa depanku seterusnya, kau berikan aku kekuatan untuk redha menerima ketentuan-Mu ya Allah.”
 
Amalan yang sama dilakukan oleh beberapa pasangan yang meminta nasihat saya dan hingga perbincangan ini ditulis, hampir semua pasangan tersebut berjaya mengubah pendirian ibu bapa mereka malah saya dijemput hadir bagi meraikan hari bersejarah tika masing-masing menjadi raja sehari. Tidak dinafikan ada beberapa pasangan yang gagal bersatu tetapi masing-masing dapat menerima ketentuan Ilahi bahawa mereka tiada jodoh bersama dan itulah yang terbaik untuk mereka.

Bila wali tetap enggan setuju
 
Saya akui, ada juga yang tidak mampu bersabar tambahan pula larangan ibu bapa adalah disebabkan alasan yang sukar diterima akal yang waras. Sekiranya yang menghalang adalah ibu bapa pihak lelaki, tidaklah menjadi masalah besar sebagaimana jika tidak dipersetujui oleh ibu bapa perempuan (terutamanya bapa yang akan mewalikan anaknya).
 
Dalam keadaan wali tidak bersetuju dengan sesuatu perkahwinan tanpa sebarang sebab yang munasabah di sisi syarak, bakal pengantin perempuan boleh membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah agar mengeluarkan suatu perintah bagi mengarahkan wali mengizinkan perkahwinan tersebut dilakukan. Namun, jika wali tetap enggan bersetuju maka Mahkamah Syariah akan mengeluarkan perintah supaya perkahwinan tersebut menggunakan wali hakim.
 
Wali hakim ialah wali yang ditauliahkan oleh pihak berkuasa negeri untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab. Tidak semua individu lelaki berhak menjadi wali hakim. Status wali hakim hanya diperolehi oleh sebahagian kaum lelaki sahaja yang menurut pandangan pihak berkuasa negeri mempunyai kelayakan-kelayakan tertentu. Mereka ini akan ditauliahkan dan diberi pengiktirafan sebagai wali hakim dan boleh menjadi wali kepada pengantin perempuan yang mempunyai masalah wali.

Perlu diingat, wali hakim hanya akan mengambil alih peranan wali nasab sekiranya Mahkamah Syariah berpuas hati wali mujbir sengaja enggan mewalikan perkahwinan tanpa alasan yang munasabah di sisi syarak. Apakah yang dimaksudkan dengan tanpa alasan yang munasabah di sisi syarak? Tanpa alasan yang munasabah di sisi syarak bermaksud wali melarang perkahwinan anak jagaannya kerana alasan yang lebih mementingkan kepentingan duniawi semata, contohnya kerana bakal suami si anak tidak berpendidikan tinggi seperti anak gadisnya, bakal suami bukan daripada golongan berharta dan lain-lain.
 
Biarpun terdapat peruntukan yang membenarkan tindakan diambil ke atas wali, terus terang saya tidak menggalakkan peruntukan ini digunapakai. Ingatlah, izin dan restu ibu bapa amat perlu dan penting untuk kesejahteraan hidup seorang anak. Selama lebih 15 tahun terlibat di dalam bidang guaman syarie dan psikologi keluarga, satu perkara yang saya yakin dan pasti, tidak ada kebahagiaan hidup yang sebenar jika tiada izin dan restu ibu bapa.

Ya, ibu bapa bukannya orang yang tahu tentang hidup anda pada masa depan. Mereka juga tidak tahu yang terbaik untuk anda. Walaupun begitu, ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab membesarkan anda hingga anda mampu menyayangi dan disayangi oleh seorang lelaki atau seorang perempuan hingga bersepakat janji untuk sehidup semati. Fikirkan: apakah kerana cinta yang tetap boleh bercerai (ikatan anak dan ibu bapa takkan terpisah hingga ke akhirat), anda sanggup meminggirkan ibu bapa anda? Fikirkan juga: apakah anda akan kekal bahagia setelah mengahwini lelaki atau perempuan yang sanggup mengenepikan ibu bapanya sendiri? Jika hari ini dia sanggup membuang ibu bapanya, tidak mustahil jika satu hari nanti dia juga sanggup membuang anda. Paling penting, redha Allah SWT kepada anda adalah berdasarkan kepada redha ibu bapa anda kepada anda. Fikir-fikirkanlah. 

p/s: Aku t'tarik artikel ni coz blaku dlm hidup...But apa yg blaku dr maha Esa. Dia la sgala2nya tau..Senjatanya adalah perlu BERSABAR..Mmg sakit..but kena kuat..InsyaAllah...aku pcaya semua rencana dr Allah utkku...Amin...